AMK Selangor minta kerajaan pimpinan UMNO hapuskan judi bola
| Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 24 Mei: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mendesak agar kerajaan pusat pimpinan UMNO menghapuskan terus judi bola sepak Piala Dunia 2010 bukan mengkaji apabila jelas bantahan keras dan meluas rakyat daripada pelbagai agama dan bangsa.. “Kita menggesa agar kelulusan kebenaran judi pertaruhan bola sepak dibatalkan segera,” kata Ketua Penerangannya, Mohd Ezli Mashut kepada Harakahdaily. Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan berkata, kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Berjaya Group. Sepatutnya, kata Mohd Ezli kerajaan lebih faham dan maklum bahawa perjudian jelas bertentangan dengan syariat Islam serta ianya bukan budaya masyarakat Malaysia. Justeru, ujarnya kerajaan tidak perlu menunggu bantahan meluas rakyat pelbagai agama dan bangsa kerana tugas dan tanggungjawab kerajaan ialah memastikan rakyat hidup dalam suasana yang berteraskan syariah dan menepati budaya murni universal pelbagai agama dan bangsa. “Kita bimbang dan khuatir jika judi pertaruhan bola sepak tidak hapuskan, masyarakat akan terdedah kepada kes-kes jenayah, budaya jijik dan konflik keluarga,” katanya lagi. Tambahnya, AMK Selangor melihat situasi perkembangan mutakhir ini seolah-olah kerajaan Umno BN semakin tidak prihatin untuk membina negara dan rakyat yang mempunyai kepribadian mulia dan unggul. Menurutnya, jika prasyarat untuk membina negara hebat ini ditolak, negara sedang menuju ke arah sebuah masyarakat yang porak peranda. Justeru, katanya rakyat perlu bangkit menyatakan penegasan bahawa kerajaan perlu diletakkan dalam landasan yang tepat dan sebenar. “Kita perlu mengorak perjuangan bersama agar harapan baru untuk selamatkan Malaysia menjadi realiti,” katanya ULASAN Tindakan kerajaan pusat yang dipimpin UMNo itu membuktikan sikap sebenar UMNO , yang menyatakan UMNO itu Islam tetapi pada masa yang sama mempraktikkan amalan yang dilarang oleh Islam. Jadi jelaslah UMNO memang memandang rendah terhadap hukum-hukum Islam dan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Islam. Bagi pemimpin-pemimpin UMNO, matlamat menghalalkan cara. sebab itu mereka tetap dengan keputusan memberikan kebenaran untuk Berjaya group menjalankan aktiviti-aktiviti perjudian. sedangkan orang-orang bukan Islam pun membantah kebenaran menjalankan aktiviti perjudian itu, tetapi pemimpin-pemimpin UMNO yang mengaku beragama Islam itu sebaliknya tetap berusaha untuk memastikan aktiviti perjudian itu dijalankan sebagaimana yang mereka rancangkan.. Sebab itulah Islam dipandang hina, Umat Islam dianggap sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam dan ada juga menganggap orang-orang Islam lebih teruk dari orang-orang bukan Islam. Sebabnya ialah orang-orang bukan Islam bermain judi hanya untuk suka-suka tetapi apabila orang islam bermain judi, mereka menjadi begitu ketagih lupa segala-galanya sehingga walaupun bersongkok atau bertudung tetap pergi membeli toto dan lain-lain. |
No comments:
Post a Comment